Langkawi,

10 Tempat Menarik yang Melayakkan Langkawi Bergelar 'Permata Kedah'

Selasa, Julai 26, 2022 Mahamahu 0 Comments

Apabila korang mendambakan destinasi percutian tropika yang paling istimewa di Malaysia, Langkawi tentunya menjadi antara pilihan utama. Di kelilingi samudera biru, dan memiliki kawasan hutan nan menghijau serta air terjun di antara yang tercantik di dunia, Langkawi, yang telah dianugerahkan dengan status pusat rujukan UNESCO Global Geopark di Asia Pasifik dipenuhi dengan pelbagai sumber kekayaan tersembunyi yang pastinya dapat memikat hati setiap pengunjung. Maka, tidak hairanlah kenapa nama Langkawi masyhur sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Berikut adalah 10 tempat menarik yang patut korang kunjungi apabila korang menjejakkan kaki ke Pulau Permata Kedah ini!

1. Kota Mahsuri 



Sebuah makam bagi memperingati kisah legenda silam Mahsuri binti Pandak Mayah, yang kecantikannya dicemburui oleh kakak iparnya sehingga menyebabkan dia menyebarkan fitnah, menuduh Mahsuri berlaku curang kepada suaminya. Mahsuri telah dihukum tanpa bersalah bersumpah Langkawi menjadi gersang bak padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan. 

Rebuti peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam lagi mengenai kecantikan Mahsuri sambil menghayati keindahan reka bentuk dan seni bina rumah-rumah yang diperbuat daripada kayu yang dijadikan sebagai muzium, bagi mempamerkan beberapa barang kemas milik Mahsuri serta senjata yang digunakan untuk membunuhnya. Di sini, korang boleh melihat sebuah makam yang sentiasa dijaga rapi, dengan sedikit keterangan ringkas mengenai kisah Mahsuri. 

2. Dataran Helang 



Dataran Helang yang ikonik ini menempatkan sebuah tugu berbentuk burung Helang setinggi 12 meter. Ia dibina bagi menzahirkan inspirasi di sebalik nama pulau ini yang menggabungkan perkataan lang (helang) dan kawi (batu perang kemerah-merahan).  Menghadap Jeti Kuah, helang gergasi ini dilihat sebagai simbol yang mengalu-alukan kedatangan para pengunjung ke Langkawi.  Kawasan ini sebagai tempat pilihan para pengunjung untuk mengambil gambar.

3. Sky Cab



Nikmati kehijauan Langkawi dengan menaiki kereta kabel paling curam di dunia. Pada ketinggian 708 meter dari paras laut, korang dapat melihat pemandangan seluruh Pulau Langkawi dan jika cuaca mengizinkan, korang turut dapat melihat Selatan Thailand. Bongkah-bongkah batu yang besar serta rabung yang tinggi memberikan pemandangan panorama yang menakjubkan seluas 360 darjah, menjadikannya sebagai destinasi yang wajib dikunjungi semua pengunjung. Sertai Langkawi Skytrail dengan mengikuti aktiviti merentas hutan di stesen pertengahan Langkawi Skybridge, sebuah jambatan bengkok unik yang terletak di puncak tertinggi Gunung Mat Chinchang.

4. Underwater World Langkawi 



Underwater World Langkawi (UWL) ialah salah satu daripada akuaria marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Ia dibina bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan akuatik kita yang tidak ternilai, dan seterusnya memupuk kefahaman mengenai hubungan erat dan yang tidak dapat dipisahkan di antara manusia dan alam semula jadi. Antara tarikan utama Underwater World Langkawi ialah Zon Ekosistem Hutan Hujan Tropika & Sungai, Iklim Sederhana & Sub-Antartika dan Marin, Zon Ikan Air Tawar, Pameran Kulit Kerang, Kolam Koi, Zon Reptilia, Zon Invertebrat, Zon Terumbu Karang dan Zon Haiwan Beracun & Berbisa. Menampilkan terowong pejalan kaki sepanjang 15 meter, para pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis hidupan laut yang luar biasa seperti Penyu Hijau Gergasi. Akuarium air masin ini terletak berhampiran dengan pusat membeli-belah dan bistro, menjadikannya sebagai destinasi semua dalam satu di mana para pengunjung boleh membeli-belah, makan dan berhibur, semuanya di dalam satu kawasan. 

5. Pertunjukan Api (Pantai Chenang)



Tempat paling meriah di Langkawi, terletak di persisiran Pantai Chenang. Sebuah kawasan pantai yang hebat dipenuhi dengan sofa ‘bean bag’ berwarna-warni, menjadikan ia tempat paling sesuai untuk korang menikmati matahari terbenam. Pastikan korang datang awal dan tempah ‘bean bag’ anda, nikmati alunan muzik serta makan dan minum di restoran berhampiran sambil menanti pertunjukan bermula. Pertunjukan termasuklah permainan belantan berapi, di mana ia diputar dan dilambung ke udara kemudian ditangkap semula, menerangi suasana malam dengan cahaya yang berkilauan apabila api ditiup ke udara oleh pemain api profesional. Aktiviti ini pastinya akan menghangatkan lagi malam anda!

6. Taman Georimba Kars Kilim 



Sebuah kawasan rizab semula jadi dan tapak geologi yang menakjubkan dipenuhi dengan flora dan fauna menakjubkan, perkembangan geologi yang mempesonakan seperti bukit batu kapur, fosil, gua dan lagun, pantai dan sudah pastinya hutan paya bakau yang tebal. Pastikan mata korang tertumpu pada kawasan paya bakau dan beting berlumpur, di mana korang pasti akan dapat melihat pelbagai jenis hidupan yang menakjubkan. Selain daripada tupai, ketam lumpur dan monyet, korang juga dapat melihat biawak yang boleh terjun ke dalam air dengan mudah dan menyelam untuk satu jangka masa yang panjang. Terletak berhampiran dengan kawasan ini ialah sangkar-sangkar penternakan ikan air masin. Di sini korang boleh melihat sangkar-sangkar ternakan ikan yang besar dan pelbagai spesis ikan yang diternak di dalamnya. Di sini korang boleh menemui pokok-pokok bakau yang berusia lebih daripada 100 tahun. Korang juga boleh menemui deretan bukit batu kapur Langkawi yang melindungi hutan paya bakau berusia tersebut. 

7. Muzium Laman Padi



Pulau Langkawi terletak di dalam negeri Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi Malaysia dan merupakan negeri pengeluar beras terbesar di negara ini. Langkawi membuka muzium ini pada 1998 bagi sebuah pusat untuk mempamerkan artifak berkaitan padi tempatan, carta, gambar dan peralatan menanam padi, sebagai salah satu cabang eko-pelancongan. Ia menonjolkan kepentingan sosial aktiviti penanaman padi konvensional yang tidak boleh disangkalkan, dan memberi peluang kepada para pengunjung untuk memahami sendiri teknik penanaman padi. 

8. Kompleks Kraf Langkawi



Kompleks Kraf Langkawi mula beroperasi pada sekitar 1996 dan dibina di atas sebidang tanah seluas 32 ekar di Jalan Teluk Yu di Mukim Bohor, Pulau Langkawi. Seni bina kompleks ini dihiasi dengan komponen-komponen bertemakan Islam bagi menyerikan lagi reka bentuk hiasan pada bahagian dindingnya yang turut mempamerkan keindahan seni bina Melayu. Kompleks Kraf Langkawi menawarkan pelbagai pilihan produk kraf tangan tempatan yang berbeza dan pada masa sama, para pengunjung berpeluang untuk melawat Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan. Selain daripada melibatkan diri dalam aktiviti kraf tangan interaktif, para pengunjung juga berpeluang untuk merakamkan detik indah di Dataran Tangga Seribu, yang merupakan salah satu simbol di Kompleks Kraf Langkawi. 

9. Taman Agroteknologi MARDI 



Taman yang luas ini dibuka kepada orang ramai bagi memberikan pendedahan mengenai penggunaan inovasi moden dalam industri pertanian Malaysia. Taman agro ini terkenal kerana pengkomersialan pokok buah-buahan tropika. Di sini korang boleh mengelilingi kawasan dengan menaiki pengangkutan yang disediakan. Jika korang seorang peminat tanaman herba, tempat ini sememangnya sesuai untuk anda. Selepas mengelilingi kawasan ladang, korang boleh berehat sambil menikmati bufet buah-buahan tempatan yang menyelerakan. Terdapat lebih 20 jenis pokok buah-buahan tropika bermusim dan tidak bermusim ditanam di ladang ini. Ladang buah-buahan tersebut meliputi kira-kira 40% daripada keseluruhan kawasan tanah di taman ini. Di antara pokok buah-buahan yang boleh korang lihat termasuklah buah belimbing besi, jambu batu, limau, mangga, rambutan, pulasan, durian, cempedak, nangka, longan dan banyak lagi. Para pengunjung akan dihadiahkan dengan cenderahati anyaman daun nipah, yang hasil tangan para pekerja taman berkenaan. 

10. 3D Art Langkawi



Terdapat lebih 100 karya seni yang dihasilkan oleh 23 pelukis Korea dan beberapa pakar tempatan yang berkemahiran. Di sini korang dapat melihat pelbagai jenis haiwan mitos seakan-akan menerpa keluar daripada bingkai gambar, atau lelaki menghulurkan tangan keluar daripada potretnya bagi mengalu-alukan kehadiran pengunjung. Ini merupakan muzium seni 3D yang kedua terbesar di dunia dan sudah pastinya yang terbesar di seluruh Malaysia. Kesemua karya 3D itu dipamerkan di dalam bangunan setinggi 3 tingkat dan meliputi kawasan seluas kira-kira 2,000 meter persegi. Terdapat beberapa zon atau segmen di dalam muzium seni ini yang mempunyai temanya sendiri dan pelbagai jenis karya 3D. Jenis-jenis zon itu termasuklah zon akuarium yang dipenuhi dengan gambar-gambar hidupan marin, zon safari yang mempamerkan karya seni hidupan liar, beberapa zon di mana korang boleh berinteraksi dengan karya seni tersebut, dan zon mimpi, di mana korang akan merasa sepi sedang berjalan di dalam mimpi. 

Semua ini, jelas sekali menunjukkan bahawa Langkawi sememangnya mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi, tidak kira sama ada korang hanya mahu berehat di pantai, menyertai aktiviti yang menyeronokkan atau mendalami warisan budaya tempatan. Terdapat begitu banyak pulau-pulau nan indah, kawasan teluk yang mempesonakan dan pantai-pantai yang menakjubkan di dalam kawasan kepulauan yang terdiri daripada 99 pulau ini untuk diterokai oleh para pengunjung. Jadi, apa yang korang tunggu lagi? Rancang percutian korang ke Langkawi hari ini!









0 Pandangan: